Berikut disenaraikan beberapa amalan mudah yang boleh diamalkan pada setiap pagi :
1- Bangunlah di awal pagi - Setelah terbangun dari tidur ucaplah syukur kepada Allah kerana telah diberikan nikmat kehidupan sehari lagi kepada kita.
2- Bersegeralah menyucikan diri - ambil wuduk dan tunaikan solat sunat tahajjud.
3- Banyakkanlah berdoa pada waktu awal pagi kerana ia antara waktu mustajab untuk berdoa - Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Rasullah S.a.w ditanya oleh seseorang : "Apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul dan mustajab)?"Baginda bersabda : "Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat-solat fardu."(Riwayat al-Tirmizi)
4- Lakukanlah solat subuh berjemaah - Daripada Jundab bin Abdillah berkata,Rasulullah s.a.w telah bersabda: " Barangsiapa yang solat subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah."(Riwayat Imam Muslim dalam kitab sahihnya).Daripada Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda " Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
5- Amalkan membaca Al-Mathurat selepas subuh - Al-mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut.Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa disamping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan.Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
6- Amalkan solat sunat Dhuha - Daripada Ibn Umar r.a, katanya Rasulullah s.a.w bersabda : Firman Allah dalam hadis kudsi maksudnya : "Hai anak adam, solatlah keranaKu dua rakaat Dhuha pada awal hari nescaya Aku jamin hingga akhir hari tersebut." (diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Kabir)
Marilah kita semua cuba mengamalkan amalan mudah ini setiap pagi.Amalan yang berterusan akan membentuk tabiat, insyaAllah tabiat yang baik ini akan menjadi amalan sehingga akhir hayat kita.daripada Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Amalan yang paling disukai di sisi Allah Taala ialah sesiapa yang melakukan amalan itu secara berterusan sekalipun sedikit."(Riwayat Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan